Thursday, February 08, 2007

Video : Dunia Di hujung Jari

Assalamualaykum wbt... nampaknya minggu ini saya belum berkesempatan untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat semua mengenai blog. Mungkin kerana kesuntukan masa terhadap tugas dan beberapa perkara yang terpaksa saya utamakan. Namun saya ada mendapat respon daripada beberapa sahabat yang menanyakan apa pentingnya blog? Tidak kurangnya juga ada yang menanyakan apa tujuannya ruangan ini diwujudkan di website ini?

Jawapan saya terserah kepada perspektif rakan-rakan. Ada yang menjadikan blog sebagai diari pengganti buku yang ditulis padanya catatan-catatan dan pengalaman-pengalaman. Ada yang menjadikan blog sebagai profil diri dan ada juga yang menjadikannya sebagai ruang untuk berkongsi ilmu lebih-lebih lagi sahabat-sahabat yang belajar dikampus ingin berkongsi dengan rakan-rakan sekelas tentang nota-nota pelajaran di dewan kuliah ( Ini memberi peluang kepada yang tidak hadir kuliah boleh menjadi rujukan). Dan bagi ahli PKPIM, blog mungkin menjadi alternatif untuk anda jadikannya sebagai medium dakwah sebagai istilah yang kita sebut sebagai Tekno Daie.

Ruangan Diskusi Blog ini bukanlah hanya membincangkan tentang blog semata-mata, bahkan beberapa material tambahan yang bermanfaat akan dikongsi dan dimanfaatkan oleh kita. Sebagai contoh, bagaimana untuk mewujudkan web video, chatting box, chatting online, radio online, dan lain-lain. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama mencerakinkan teknologi ini semaksima yang boleh. Banyak perkara yang dapat kita manfaatkan dari internet. Cuba kita sama-sama melihat video ini sebagai gambaran kepada rakan-rakan semua tentang apakah benar dengan internet, segala maklumat dapat diperolehi sehebat ungkapan istilah Dunia di hujung Jari......

Wednesday, January 31, 2007

Langkah 2 : Menguruskan Dashboard dan laman Utama

nota : pada setiap paparan gambar pada artikel ini, anda boleh menekan pada gambar tersebut untuk paparan yang lebih besar dan jelas....

Assalamualaykum wbt...
Apa khabar? Bertemu lagi kita di ruangan diskusi Blog. Pada ruangan yang lalu, kita memperbincangkan tentang kaedah untuk mewujudkan akaun blog. Dan saya yakin, rakan-rakan sudah pun memiliki akaun blog masing-masing. Siri kedua Tekno Daie kali ini, akan saya terangkan bagaimana untuk menguruskan blog anda.

Modzilla Firefox VS Internet Explorer
Tapi sebelum itu, pastikan anda menggunakan perisian internet modzilla fire fox kerana kaedah yang saya tunjukkan ini memerlukan anda membuka beberapa blog dalam satu masa. Ini kerana jika anda menggunakan internet explorer (IE), anda akan mempunyai sedikit keserabutan dalam mempelajari tutorial ini kerana jika anda menggunakan IE anda akan mengalami masalah terlalu banyak tetingkap (window) yang akan dibuka bagi memaparkan halaman-halaman yang dikehendaki..... berbeza dengan modzilla, untuk membuka laman lain, anda hanya perlu membuka halaman lain dengan kaedah ada pilih "File" dan pilih "new tab" atau kekunci ctrl + T atau jika anda ingin membuka mana-mana link , anda perlu bawa tetukus anda ke perkataan link tersebut kemudian tekan kiri butang mouse kemudian pilih pilihan open in new tab.

Masalah IE yang memerlukan tetingkap di buka dengan banyak untuk
melihat paparan web yang banyak dalam satu masa.

Fungsi Tab yang memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuka
pelbagai web dalam satu masa menggunakan perisian modzilla firefox.



Kreativiti menghias Blog
Untuk pengetahuan rakan-rakan, untuk menguruskan blog, segala kreativiti untuk menghias blog adalah bergantung kepada kehendak diri kita. Itulah kelebihan blog............ jika anda melihat blog ruangan saya ini, adakah anda perasan, di halaman utama diskusi blog, hanya dipaparkan perenggan utama dan perkataan link yang ditulis baca seterusnya?

Itulah kreativiti yang sempat saya fikirkan..... pada anggapan saya , dengan kaedah demikian, pelawat tidak perlu terlalu banyak untuk menggerakkan tetikus dari atas hingga kebawah untuk melihat keseluruhan artikel blog. Kadang-kadang, bagi yang malas membaca artikel yang panjang-panjang, pembaca itu akan melangkau dan membiarkan begitu sahaja artikel itu kerana sikap malas untuk membaca artikel yang panjang sedangkan banyak input penting yang terdapat di artikel tersebut. Jadi , dengan kaedah kreatif yang saya lakukan diatas, sekurang-kurangnya kaedah tersebut mampu dijadikan sebagai psiko (psycho) kepada pembaca untuk memberikan sesuatu yang positif pada pengaruh pandangan pertama (first impression) mereka pada sesuatu artikel.

Membina Tiga Blog Utama
Kaedah yang saya lakukan untuk mewujudkan paparan blog seperti yang disebut diatas adalah dengan kita mewujudkan tiga blog utama pada Dashboard anda. Seperti yang tertera pada gambar di bawah, tiga blog tersebut perlu dibina dengan anda menekan link perkataan yang ditulis create a blog. Bagi memudahkan anda, pada ruangan title , anda namakan ketiga-tiga blog tersebut dengan nama berikut : -
  • Laman utama
  • Laman Artikel
  • Laman Imej
paparan dashboard pada old blogger

paparan dashboard pada new blogger (versi Beta)


Anda juga boleh menggunakan kreativiti anda dari segi menamakan blog dan menamakan alamat URL anda. Seperti saya di blog diskusi ini , saya telah menguruskan blog tersebut seperti berikut :
Title Alamat URL
1. Diskusi blog | Laman Utama http://diskusiblog-pkpim.blogspot.com
2. Diskusi blog | Artikel http://artikel-diskusiblog.blogspot.com
3. Diskusi blog | Imej http://imej-diskusiblog.blogspot.com

Bagaimana Menguruskannya?

Ketiga-tiga blog diatas saling memerlukan antara satu sama lain. Untuk menguruskan blog anda, lakukan arahan seperti berikut di bawah :

1. Artikel penuh yang ditulis oleh anda, anda perlu pos pada blog artikel. kemudian publish
dan paparkan pada tab kedua. (open in new tab)

2. Kemudian Pada laman utama , anda hanya perlu masukkan perenggan pertama sahaja
artikel yang sama seperti yang anda publish pada laman artikel. kemudian tuliskan
perkataan [ baca seterusnya ] untuk dibina ruangan link.

3. Pada laman utama, Sila rujuk langkah bergambar di bawah :


i. Tuliskan perenggan utama sahaja dan link baca seterusnya.



ii. Highlightkan perkataan baca seterusnya, kemudian tekan butang link,
tetingkap link akan dibuka.

iii. Pada halaman blog laman artikel (yg telah dibuka dengan arahan open new tab, anda perlu pergi kepada paparan tajuk yang telah dipos, biasanya ia ditulis previous post , tetapi pada blog saya (diskusi blog) bahagian tersebut saya telah ubah kepada artikel terkini. Halakan panah tetikus pada tajuk, Tekan kanan tetikus, dan pilih propertise.

iv. Tetingkap elemen propertise akan dibuka. Salin (copy) alamat url (adress) seperti di atas.



v. Tampalkan (paste) alamat URL yang telah disalin pada tetingkap link di panel Pos Laman Diskusi.

vi. Cuba lihat pada perkataan baca seterusnya, perkataan tersebut telah ditanda dengan warna biru dan bergaris.... maknanya perkataan tersebut telah di jaringkan (link) ke alamat tajuk artikel penuh di blog artikel. Kemudian anda tekan Butang Publish.


vii. Selepas anda publish , cuba paparkan laman utama blog anda... hasilnya akan sama seperti mana yang telah saya buat pada blog diskusi. Untuk artikel seterusnya, lakukan langkah yang sama seperti mana yang diajar di atas.... Saya yakin blog anda akan lebih tersusun dan pelawat akan seronok melawat blog anda...

Akhir kalam
Selamat mencu............. oopss!!... saya terlupa.. Adakah anda perasan dengan blog ketiga iaitu blog Laman Imej? Kenapa laman imej tidak diperlukan dalam kaedah di atas? mengapa? mengapa!!!??

Jawapannya, kerana laman tersebut masih tidak diperlukan lagi pada pembelajaran di atas... tetapi ia amat diperlukan pada ruangan akan datang iaitu bagaimana untuk mencantikkan laman blog.... Seperti yang anda lihat pada blog diskusi ini, bagaimanakah imej banner blog yang cantik (dengan permandangan yg indah kehijauan dan awan yang biru) boleh diletakkan pada blog tersebut. Bagaimana hendak letakkan gambar anda pada kiri laman (left side-bar) ? Semuanya pada ruangan diskusi pada sesi akan datang...... Jumpa lagi!!....

Faizul Afzan ( Fityan Al-Fatih)
Exco Portal Penerbitan & Dokumentasi
PKPIM Malaysia.
Yahoo messengger : faizulafzan_83@yahoo.com.my
weblog : http://faizulafzan.blogspot.com

Tuesday, January 30, 2007

Langkah 1 : Mewujudkan Akaun Blog

Oleh : Mohd Faizul Afzan Bin Mamat ( Fityan Afzan)

Assalamualaykum wbt…. Apa khabar? Semoga anda semua berada dalam keadaan sejahtera hendaknya..

Sahabat sekalian...

Jika dahulu media cetak seperti akhbar dan majalah menjadi tumpuan remaja berkarya dan meluahkan pendapat, kini mereka memilih untuk menggunakan penulisan dalam blog. Sudahkah anda memiliki blog?

Pada kali ini , saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian tentang bagaimana untuk mewujuskan akaun blog dengan mudah bagi anda memiliki blog milik anda. Topik kali ini akan menerangkan bagaimana untuk membina blog secara asas menggunakan Bloggers
( www.blogger.com)

Bloggers versi Beta VS Old Blogger
Apabila anda membuka laman utama Blogger, anda akan dapati ada dua bahagian sign in (ruang masuk ke akaun blogger) iaitu new blogger dan old blogger.

Bagi mereka yang telah lama menggunakan perkhidmatan blogger (lebih kurang Jun 2006 ke bawah) , mereka masih lagi menggunakan sistem operasi blogger yang lama (classic) iaitu old blogger. Manakala yang baru mengenali blogger , mereka akan berdaftar menggunakan pendaftaran blog versi Beta untuk new blogger. Bloggers versi Beta adalah versi pengupayaan sistem kepada lebih baik yang memudahkan pengguna untuk mengubahsuai (edit) blog mereka menggunakan kemudahan yang disediakan. Sebagai contoh bagi mereka yang ingin mengubah tajuk (title) , Huraian diskripsi (description), kedudukan tarikh, edit archieve, link, serta mengubah template dan lain-lain, blogger menyediakan ruangan edit yang mudah tanpa perlu kita belajar skrip HTML.

Manakala pada old Blogger, pengguna perlu menyunting (edit) kesemua perkara yang saya sebut di atas dengan memahami arahan skrip HTML kecuali pada bahagian setting Title dan Description.

Ruangan suntingan (edit) template bagi new blogger.


Ruangan suntingan (edit) template bagi old blogger.


Pendapat Saya

Pada pandangan saya, saya lebih suka dengan konsep Old Blogger berbanding versi Beta. Ini disebabkan versi Beta membuatkan pengguna tidak memahami asas-asas blog iaitu memahami HTML. Ini akan menyebabkan pengguna hanya tahu apa yang dipaparkan di kulit sahaja (paparan blog) tanpa mengetahui bagaimana dan kenapa ia berfungsi... sebagai contoh , bagaimana untuk membuat jaringan blog (link) seperti jaringan link rakan-rakan blog. Kita ambil contoh, kawan saya bernama Rezwan mempunyai laman blog beralamat Url http://matatinta.blogspot.com. Saya ingin meletakkan alamat blog rezwan di bahagian link blog saya. Kalau pengguna yang menggunakan older blogger, mereka akan tahu bagaimana untuk membinanya. Caranya seperti di bawah :

Skrip HTML itu akan salin(copy) dan diletakkan (paste) di satu sudut pada skrip template pengguna seperti saya. Dan apabila saya ingin menambah link rakan-rakan saya yang lain , saya hanya perlu membuat perkara yang sama seperti di atas dan meletakkannya di bawah nama rakan saya yang pertama (katakanlah yg pertama itu rezwan). Tapi untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian. Sistem pendaftaran (sign up) untuk Old Blogger telah ditutup dan yang kekal hanyalah ruangan sign in atau login untuk pengguna old blogger untuk masuk ke dashboard (log in). Pengguna baru akan mendaftar menggunakan sistem Beta dengan hanya menekan ikon create your blog now.


Langkah demi langkah untuk daftar akaun blog. Klik pada gambar untuk paparan jelas.

Ikuti langkah demi langkah yang disediakan semudah 1,2 dan 3 sehingga anda selesai memiliki alamat blog anda sendiri...tapi bagi pengguna baru, mungkin anda belum memiliki emel google... bagi yang sudah memiliki anda boleh teruskan mendaftar... bagi yang belum mendaftar emel google, kalau tidak silap saya, emel ini berbeza cara pendaftarannya dengan emel dari perkhidmatan lain seperti yahoo, lycos dan lain-lain.


Emel ini biasanya dapat didaftar apabila ada seseorang yang mengundang (invite) untuk menyertai dan mewujudkan emel google. jadi bagi yang ingin memiliki emel google, boleh juga emelkan kepada saya di alamat emel : faizulafzan83@gmail.com . Jika anda memiliki emel google, anda akan mendapat menggunakan banyak kemudahan yang didapati di halaman perkhidmatan google selain dari kapasiti ruang (space) yang besar.


Selepas sahaja anda mendaftar emel google dan akaun blogger, hasilnya anda akan mendapat halaman dashboard yang akan membantu anda menguruskan blog anda..........Selamat mencuba!!!

Dashboard Blogger versi Beta (New Blogger)


Dashboard Blogger versi lama (Old Blogger)

Monday, January 29, 2007

Pengenalan Blog : Kearah Menjana Idealisme melalui Penulisan Blog.

Assalamualaykum wbt..

Tahukah anda Revolusi Teratai Puteh di negara China hasil daripada nota-nota kecil yang ditanam dalam kuih bulan yang dijual kepada seluruh rakyat China. Apabila rakyat China faham (isi kandungan nota-nota kecil) , gelombang rakyat memuncak.


Ungkapan fakta di atas cukup menarik perhatian saya untuk mengajak rakan-rakan untuk mekaji kaitan fakta di atas dengan artikel pengenalan Siri Tekno Daie – Diskusi Blog yang di kendalikan oleh saya dalam ruangan ini..

Jelas apabila kita memahami dari tindakan Revolusioner Teratai Putih itu, yang hanya menggunakan nota-nota kecil untuk menyebarkan idealisme kepada rakyat... cuba bayangkan , jika kita memanfaatkan penulisan blog yang sarat dengan isi idealisme segar dan positif seorang mahasiswa...........sebagai contoh , penulisan kearah membina Mahasiswa yang mempunyai jatidiri, ciri sahsiah muslim cemerlang, siri pengembaraan dan kajian tamadun (seperti GPTD) , dan pelbagai topik yang hanya dengan menulis dan menyiarkannya di blog..... berbagai lapisan masyarakat akan membacanya dan memahami isi kandungan penulisan anda atau mungkin penulisan anda akan menjadi rujukan panduan....



Dunia Blog

Kecanggihan dunia teknologi maklumat hari ini telah memungkinkan banyak perkara. Selain saling berhubung dengan menggunakan mel elektronik ataupun e-mel, pengguna juga boleh memiliki laman web sendiri sama ada secara percuma ataupun berbayar.

Dan kini wujud fenomena baru dikalangan generasi muda di dalam dunia ICT yang dipanggil weblog. Bukan mudah untuk menerangkan apa itu weblog ataupun blog kepada mereka yang tidak celik ICT (Information & Communication Technologies) .

Secara istilah, weblog bermaksud log ataupun buku log (buku yang saya jadikan catatan nota semasa di bangku menengah) yang ditulis menggunakan laman web tertentu samada dari perkhidmatan blogger, blogsome, blogdrive dan lain-lain. Dari situlah datangnya perkataan weblog.

Ia boleh dianggap sebagai menulis catatan ataupun diari secara online. Catatan tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja setelah penulis blog tersebut memilih untuk menyiarkan blog tersebut di lamannya.Kewujudan weblog telah menimbulkan semula minat menulis di kalangan kumpulan tertentu khususnya generasi muda.

Agak ramai penulis dikalangan aktivis gerakan mahasiswa mahupun penulis sastera mutakhir yang telah memiliki blog sendiri. Antara yang dapat dikesan ialah http://hilmimadani.blogspot.com (Hilmi Ramli Presiden PKPIM) http://gptd.blogspot.com (Juifitri Joha-ABIM),
http://tehranifaisal.blogspot.com Faisal Tehrani, Saifullah Al-Maslul (www.saifullahzulkifli.blogspot.com) , dan lain-lain lagi.



Generasi Muda Dan Blogger
Internet merupakan salah satu medium komunikasi yang semakin popular di negara kita. Selaras dengan hasrat dan impian kerajaan untuk menerapkan budaya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di kalangan rakyatnya, laman-laman web serta portal yang dicipta oleh warga tempatan juga wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Budaya ICT kini telah menular di kalangan generasi muda khususnya remaja dan mahasiswa kita dan ia seakan menjadi trend masa kini. Mereka bukan sahaja mencipta lawan web sendiri, malah ada juga yang menjadikan kemahiran tersebut bagi menambah pendapatan.

Begitupun, untuk memiliki sebuah laman web sendiri memerlukan kos yang agak tinggi. Alternatifnya, remaja boleh mencurahkan idea penulisan mereka melalui blog di laman web yang amat popular masa kini.

Jika dahulu media cetak seperti akhbar dan majalah menjadi tumpuan remaja berkarya dan meluahkan pendapat, kini mereka memilih untuk menggunakan penulisan dalam blog. Ia popular kerana ciri-cirinya yang cepat, mudah serta skopnya yang meluas.




Kreativiti penulis Blog

Tidak ada garis panduan tentang apa yang boleh ataupun tidak boleh ditulis di dalam sesebuah blog. Ia sebuah wadah bebas yang tidak mengehadkan sama ada bentuk tulisan, kandungan yang ingin ditulis ataupun panjang setiap tulisan yang dipanggil entri.

Setiap blog mempunyai tema-tema tertentu bergantung kepada kehendak setiap pemiliknya. Ada yang hanya melaporkan hal-hal yang berlaku sekeliling dirinya. Tidak kurang juga melaporkan semula apa yang telah dilaporkan oleh akhbar utama tetapi ditambah dengan komentar peribadinya. Ada yang memilih untuk bercakap darihal bidang tugas hakikinya setiap hari. Terdapat juga penulis blog yang mengutarakan hal penulisan kreatif.

Mereka juga tahu bahawa tulisan mereka ini boleh dibaca oleh pelawat-pelawat yang singgah di blog mereka.



Kemahiran Menulis melalui Blog
Menulis adalah kerja yang berterusan dan memerlukan banyak latihan. Seorang penulis yang tidak bercadang untuk menghasilkan sebarang karya masih wajib menulis setiap hari.

Ini akan meningkatkan kemahiran menulis supaya penulis tidak hilang bakat dalam penulisannya. Menulis blog menjadi alternatif dalam bidang penulisan kreatif (sebagaimana yang dilihat dari contoh-contoh blog di atas). Pemilik-pemilik blog boleh meneruskan kemahiran berbahasa dalam setiap entri seolah-olah mereka sedang menulis sebuah karya untuk dihantar ke media cetak.

Blog juga boleh disemak dan diedit semula walaupun setelah disiarkan oleh pemiliknya.

Kebanyakan nama penulis blog yang telah disebutkan terdahulu memilih gaya penulisan dalam bahasa yang terkawal walaupun isi entrinya agak santai. Selain daripada memasukkan maklumat terkini tentang dunia penulisan mereka, penulis blog juga membuat komentar terhadap mana-mana isu yang wajar disentuh.

Bergantung kepada populariti setiap blog, ada sesetengahnya yang mendapat lebih daripada 50 - 100 orang pelawat setiap hari.




Adab-adab menulis Blog Islamik

Saya begitu tertarik dengan nasihat seorang Ilmuwan negara, Prof Wan Mohd Nor Bin Wan Daud semasa belaiu menyampaikan ceramah Pengenalan Kursus pandangan Hidup Islam anjuran Akademi Pemikiran Pelajar Islam Malaysia – PKPIM pada 6 Januari 2007 yang lepas, beliau telah menjawab satu persoalan tentang bagaimana adab seorang yang ingin menulis tentang isu agama di blog dengan berpandukan hadis dan al-quran tetapi tidak mahir dalam ilmu alat seperti bahasa arab dan sebagainya lebih-lebih lagi apabila melihat isu agama yang diutarakan dalam sebahagian penulis-penulis blog berkisar kepada pemikiran taqlid, tajdid, liberal dan sebagainya.

Beliau menjawab ,
Yang paling utama adalah ilmu pengetahuan, dan ilmu pengetahuan itu bukan datang sertongkol tetapi datang sedikit demi sedikit. Jadi bila kita tahu sedikit, jangan membuat kenyataan yang terlalu besar-besar...contohnya isu mentakfirkan, memurtadkan orang... jadi lebih baik kalau kita belum ada ilmu lagi, kita mendalami sedikit lagi...dan jika mahu menulis pun , penulis perlu letakkan hujah2 yang paling baik dan bersedia untuk diperbaiki.


Prof juga ada memperingati audien pada malam itu terutamanya penulis blog agar berhati-hati dalam menulis blog kerana pada pengamatan beliau, penulis yang menulis di blog , menurut beliau bila kita menulis di blog, kita akan terlalu cepat menulis, dan kalau kita membuat silap , ia terlalu cepat menyebar....

Beliau menyarankan,
jika ingin juga menulis di blog, tulislah sesuatu yang mudah-mudah seperti pengalaman peribadi ataupun boleh mengutip pandangan orang-orang yang lebih besar (seperti ulama muktabar), contohnya jika anda ada membaca buku yang baik , anda kongsikan buku itu dengan rakan-rakan blogger yang lain dengan cara mengutip semula (penulisan) atau mengambil ”paragraph”nya. Supaya anda menunjukkan kepada sumber-sumber yang muktabar, bukan dengan membuat pandangan sendiri.


Kebebasan Menulis

Tidak dinafikan juga terdapat penulis blog yang menulis dalam bahasa rojak ataupun bercampur aduk antara pelbagai bahasa dalam satu ayat. Ini salah satu kelemahan blog lantaran tiada editor yang boleh membetulkan keadaan ini. Pun begitu, berbalik semula pada konsep blog yang bebas, perkara sebegini tidak dapat dielakkan.

Dari aspek keselamatan pula, menulis di dalam blog pula memudahkan orang lain menceduk idea ataupun menyalin terus isi –isi artikel yang telah ditulis. Pada pandangan saya, penulis seeloknya menyiarkan karya ataupun tulisan yang telah tersiar di media cetak dengan menyatakan sumber. Ini kerana, walaupun setiap artikel yang disiarkan di blog merupakan hak cipta penulisnya, seorang penulis blog juga harus mengambil sikap berhati-hati.

Penulis muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan sewajarnya mengambil peluang memiliki blog sendiri. Kini banyak laman web yang menyediakan perkhidmatan blog secara percuma. Sebagai contoh, www.blogger.com (yang menjadi pilihan saya) memberikan penerangan langkah demi langkah untuk memiliki blog.

Konklusi Sudah tiba masanya penulis-penulis muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk mula menggunakan mekanisme terbaru ini dalam menyampaikan idealisme kepada masyarakat dipelbagai lapisan supaya perkembangan sistem teknologi melalui penyertaan mahasiswa menjadi seiring dengan kemajuan negara yang dikecapi.

-Fityan Afzan-


Artikel seterusnya akan berkisarkan kepada siri pembelajaran untuk membina Blog berasaskan Blogger (www.blogger.com)