Monday, January 29, 2007

Pengenalan Blog : Kearah Menjana Idealisme melalui Penulisan Blog.

Assalamualaykum wbt..

Tahukah anda Revolusi Teratai Puteh di negara China hasil daripada nota-nota kecil yang ditanam dalam kuih bulan yang dijual kepada seluruh rakyat China. Apabila rakyat China faham (isi kandungan nota-nota kecil) , gelombang rakyat memuncak.


Ungkapan fakta di atas cukup menarik perhatian saya untuk mengajak rakan-rakan untuk mekaji kaitan fakta di atas dengan artikel pengenalan Siri Tekno Daie – Diskusi Blog yang di kendalikan oleh saya dalam ruangan ini..

Jelas apabila kita memahami dari tindakan Revolusioner Teratai Putih itu, yang hanya menggunakan nota-nota kecil untuk menyebarkan idealisme kepada rakyat... cuba bayangkan , jika kita memanfaatkan penulisan blog yang sarat dengan isi idealisme segar dan positif seorang mahasiswa...........sebagai contoh , penulisan kearah membina Mahasiswa yang mempunyai jatidiri, ciri sahsiah muslim cemerlang, siri pengembaraan dan kajian tamadun (seperti GPTD) , dan pelbagai topik yang hanya dengan menulis dan menyiarkannya di blog..... berbagai lapisan masyarakat akan membacanya dan memahami isi kandungan penulisan anda atau mungkin penulisan anda akan menjadi rujukan panduan....



Dunia Blog

Kecanggihan dunia teknologi maklumat hari ini telah memungkinkan banyak perkara. Selain saling berhubung dengan menggunakan mel elektronik ataupun e-mel, pengguna juga boleh memiliki laman web sendiri sama ada secara percuma ataupun berbayar.

Dan kini wujud fenomena baru dikalangan generasi muda di dalam dunia ICT yang dipanggil weblog. Bukan mudah untuk menerangkan apa itu weblog ataupun blog kepada mereka yang tidak celik ICT (Information & Communication Technologies) .

Secara istilah, weblog bermaksud log ataupun buku log (buku yang saya jadikan catatan nota semasa di bangku menengah) yang ditulis menggunakan laman web tertentu samada dari perkhidmatan blogger, blogsome, blogdrive dan lain-lain. Dari situlah datangnya perkataan weblog.

Ia boleh dianggap sebagai menulis catatan ataupun diari secara online. Catatan tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja setelah penulis blog tersebut memilih untuk menyiarkan blog tersebut di lamannya.Kewujudan weblog telah menimbulkan semula minat menulis di kalangan kumpulan tertentu khususnya generasi muda.

Agak ramai penulis dikalangan aktivis gerakan mahasiswa mahupun penulis sastera mutakhir yang telah memiliki blog sendiri. Antara yang dapat dikesan ialah http://hilmimadani.blogspot.com (Hilmi Ramli Presiden PKPIM) http://gptd.blogspot.com (Juifitri Joha-ABIM),
http://tehranifaisal.blogspot.com Faisal Tehrani, Saifullah Al-Maslul (www.saifullahzulkifli.blogspot.com) , dan lain-lain lagi.



Generasi Muda Dan Blogger
Internet merupakan salah satu medium komunikasi yang semakin popular di negara kita. Selaras dengan hasrat dan impian kerajaan untuk menerapkan budaya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di kalangan rakyatnya, laman-laman web serta portal yang dicipta oleh warga tempatan juga wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Budaya ICT kini telah menular di kalangan generasi muda khususnya remaja dan mahasiswa kita dan ia seakan menjadi trend masa kini. Mereka bukan sahaja mencipta lawan web sendiri, malah ada juga yang menjadikan kemahiran tersebut bagi menambah pendapatan.

Begitupun, untuk memiliki sebuah laman web sendiri memerlukan kos yang agak tinggi. Alternatifnya, remaja boleh mencurahkan idea penulisan mereka melalui blog di laman web yang amat popular masa kini.

Jika dahulu media cetak seperti akhbar dan majalah menjadi tumpuan remaja berkarya dan meluahkan pendapat, kini mereka memilih untuk menggunakan penulisan dalam blog. Ia popular kerana ciri-cirinya yang cepat, mudah serta skopnya yang meluas.




Kreativiti penulis Blog

Tidak ada garis panduan tentang apa yang boleh ataupun tidak boleh ditulis di dalam sesebuah blog. Ia sebuah wadah bebas yang tidak mengehadkan sama ada bentuk tulisan, kandungan yang ingin ditulis ataupun panjang setiap tulisan yang dipanggil entri.

Setiap blog mempunyai tema-tema tertentu bergantung kepada kehendak setiap pemiliknya. Ada yang hanya melaporkan hal-hal yang berlaku sekeliling dirinya. Tidak kurang juga melaporkan semula apa yang telah dilaporkan oleh akhbar utama tetapi ditambah dengan komentar peribadinya. Ada yang memilih untuk bercakap darihal bidang tugas hakikinya setiap hari. Terdapat juga penulis blog yang mengutarakan hal penulisan kreatif.

Mereka juga tahu bahawa tulisan mereka ini boleh dibaca oleh pelawat-pelawat yang singgah di blog mereka.



Kemahiran Menulis melalui Blog
Menulis adalah kerja yang berterusan dan memerlukan banyak latihan. Seorang penulis yang tidak bercadang untuk menghasilkan sebarang karya masih wajib menulis setiap hari.

Ini akan meningkatkan kemahiran menulis supaya penulis tidak hilang bakat dalam penulisannya. Menulis blog menjadi alternatif dalam bidang penulisan kreatif (sebagaimana yang dilihat dari contoh-contoh blog di atas). Pemilik-pemilik blog boleh meneruskan kemahiran berbahasa dalam setiap entri seolah-olah mereka sedang menulis sebuah karya untuk dihantar ke media cetak.

Blog juga boleh disemak dan diedit semula walaupun setelah disiarkan oleh pemiliknya.

Kebanyakan nama penulis blog yang telah disebutkan terdahulu memilih gaya penulisan dalam bahasa yang terkawal walaupun isi entrinya agak santai. Selain daripada memasukkan maklumat terkini tentang dunia penulisan mereka, penulis blog juga membuat komentar terhadap mana-mana isu yang wajar disentuh.

Bergantung kepada populariti setiap blog, ada sesetengahnya yang mendapat lebih daripada 50 - 100 orang pelawat setiap hari.




Adab-adab menulis Blog Islamik

Saya begitu tertarik dengan nasihat seorang Ilmuwan negara, Prof Wan Mohd Nor Bin Wan Daud semasa belaiu menyampaikan ceramah Pengenalan Kursus pandangan Hidup Islam anjuran Akademi Pemikiran Pelajar Islam Malaysia – PKPIM pada 6 Januari 2007 yang lepas, beliau telah menjawab satu persoalan tentang bagaimana adab seorang yang ingin menulis tentang isu agama di blog dengan berpandukan hadis dan al-quran tetapi tidak mahir dalam ilmu alat seperti bahasa arab dan sebagainya lebih-lebih lagi apabila melihat isu agama yang diutarakan dalam sebahagian penulis-penulis blog berkisar kepada pemikiran taqlid, tajdid, liberal dan sebagainya.

Beliau menjawab ,
Yang paling utama adalah ilmu pengetahuan, dan ilmu pengetahuan itu bukan datang sertongkol tetapi datang sedikit demi sedikit. Jadi bila kita tahu sedikit, jangan membuat kenyataan yang terlalu besar-besar...contohnya isu mentakfirkan, memurtadkan orang... jadi lebih baik kalau kita belum ada ilmu lagi, kita mendalami sedikit lagi...dan jika mahu menulis pun , penulis perlu letakkan hujah2 yang paling baik dan bersedia untuk diperbaiki.


Prof juga ada memperingati audien pada malam itu terutamanya penulis blog agar berhati-hati dalam menulis blog kerana pada pengamatan beliau, penulis yang menulis di blog , menurut beliau bila kita menulis di blog, kita akan terlalu cepat menulis, dan kalau kita membuat silap , ia terlalu cepat menyebar....

Beliau menyarankan,
jika ingin juga menulis di blog, tulislah sesuatu yang mudah-mudah seperti pengalaman peribadi ataupun boleh mengutip pandangan orang-orang yang lebih besar (seperti ulama muktabar), contohnya jika anda ada membaca buku yang baik , anda kongsikan buku itu dengan rakan-rakan blogger yang lain dengan cara mengutip semula (penulisan) atau mengambil ”paragraph”nya. Supaya anda menunjukkan kepada sumber-sumber yang muktabar, bukan dengan membuat pandangan sendiri.


Kebebasan Menulis

Tidak dinafikan juga terdapat penulis blog yang menulis dalam bahasa rojak ataupun bercampur aduk antara pelbagai bahasa dalam satu ayat. Ini salah satu kelemahan blog lantaran tiada editor yang boleh membetulkan keadaan ini. Pun begitu, berbalik semula pada konsep blog yang bebas, perkara sebegini tidak dapat dielakkan.

Dari aspek keselamatan pula, menulis di dalam blog pula memudahkan orang lain menceduk idea ataupun menyalin terus isi –isi artikel yang telah ditulis. Pada pandangan saya, penulis seeloknya menyiarkan karya ataupun tulisan yang telah tersiar di media cetak dengan menyatakan sumber. Ini kerana, walaupun setiap artikel yang disiarkan di blog merupakan hak cipta penulisnya, seorang penulis blog juga harus mengambil sikap berhati-hati.

Penulis muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan sewajarnya mengambil peluang memiliki blog sendiri. Kini banyak laman web yang menyediakan perkhidmatan blog secara percuma. Sebagai contoh, www.blogger.com (yang menjadi pilihan saya) memberikan penerangan langkah demi langkah untuk memiliki blog.

Konklusi Sudah tiba masanya penulis-penulis muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk mula menggunakan mekanisme terbaru ini dalam menyampaikan idealisme kepada masyarakat dipelbagai lapisan supaya perkembangan sistem teknologi melalui penyertaan mahasiswa menjadi seiring dengan kemajuan negara yang dikecapi.

-Fityan Afzan-


Artikel seterusnya akan berkisarkan kepada siri pembelajaran untuk membina Blog berasaskan Blogger (www.blogger.com)





No comments: